Saturday, 25 August 2018

NGO mohon maaf pada Khalid, Mujahid dakwaan anjur pesta gay


KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) memohon maaf atas kenyataan yang mengaitkan Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan penganjuran pesta gay di ibu negara.
Presiden Wan Asshima Kamaruddin berkata dia tidak berniat untuk mengaibkan Khalid dan Mujahid.
“Jika video tersebut disalah-tafsirkan sebagai memfitnah mereka maka dengan ini saya memohon maaf kerana saya tidak berniat untuk mengaibkan.
“Saya sudah mohon maaf kepada Mujahid melalui mesej secara terus kepadanya. Manakala Khalid saya telah berhubung dengan peguamnya, Zulhazmi Sharif untuk mengaturkan satu pertemuan antara saya dengan Khalid dan saya akan minta maaf secara terus,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Wan Asshima ke balai polis untuk mengadakan sidang media memohon maaf dan menunjukkan gambar tiket satu acara yang diperolehi dari internet. Presiden GMIM mendakwa acara itu pesta gay tetapi laman web acara tidak lagi boleh diakses dan dia tidak mengetahui lokasi acara itu.
Pada 21 Ogos lalu, Khalid berkata dia akan menyaman Wan Asshima berhubung tuduhan menyatakan beliau dan Mujahid menganjurkan pesta gay terbesar di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menteri berkata ia tuduhan yang berat dan tidak berasas dan dia mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan secepat mungkin.
Wan Asshima didakwa menuduh Khalid membenarkan penganjuran pesta gay besar-besaran melalui video di Facebook baru-baru ini tetapi video itu telah dipadam.
Susulan itu, laporan polis dibuat pada 20 Ogos lepas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Wilayah Zulhazmi Shariff dan Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hisham Fauzi. Kedua-dua laporan polis itu merujuk kepada tuduhan yang didakwa dibuat Wan Asshima di Facebook.
FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada Mujahid berhubung permohonan maaf Wan Asshima. Peguam Khalid mengesahkan pemimpin GMIM itu mahu bertemu menteri itu bagi memohon maaf dan menjelaskan kenyataannya.
Wan Asshima bagaimanapun berharap Khalid dan Mujahid lebih fokus dalam isu untuk menyelamatkan anak muda yang semakin jauh terpesong dari landasan Islam yang sebenar bukan bermain emosi atau bersifat peribadi untuk membuat saman terhadapnya.
Beliau berharap Khalid boleh duduk semeja dengan GMIM dan berbincang mengenai masalah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
“Saya amat berharap Khalid dapat menerima teguran secara terbuka dan bersikap profesional dan beristiqamah dalam menerima tanggungjawab untuk menjaga negara ini
“Objektif utama saya juga menggesa Khalid menggunakan kuasa menterinya untuk menghalang semua kegiatan LGBT dan pesta gay bagi mengawal akidah anak remaja,” katanya.
Sumber : FMTNews

0 komentar

Post a Comment