Sunday, 18 March 2018

Lebih 14,000 individu menandatangani petisyen menuntut hukuman tegas dikenakan!


LEBIH 14,000 individu menandatangani petisyen menuntut hukuman tegas dikenakan terhadap seorang Datin yang didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya.
Petisyen itu dilancarkan susulan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam, yang membenarkan tertuduh, Datin Rozita Mohamad Ali, dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.
Ia ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sehingga 3.48 petang tadi, petisyen bertajuk ‘Tuntutan keadilan sama rata’ yang mula dilancarkan semalam, sudah mengumpul 14,122 tanda tangan daripada 15,000 tanda tangan yang disasarkan.
ADVERTISING
Petisyen itu antara lain menolak keputusan mahkamah itu, dan mahu keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat dan harta.
Ia turut menuntut Rozita, 44, dikenakan tindakan lebih tegas, selain menyifatkan ‘jenayah’ terhadap pembantu rumah, Suyanti Sutrinso, 19, itu sebagai keji dan tidak berperikemanusiaan.
“Walaupun (tertuduh) seorang Datin, kaya dan memiliki hubungan (dengan individu tertentu), tidak memberi hak kepadanya untuk bertindak sedemikian.
“Apakah mesej kita yang cuba sampaikan kepada rakyat dan kanak-kanak? Malaysia perlu meneliti isu hak asasi manusia dengan serius,” kata kenyataan dalam petisyen itu.
Keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya semalam, mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang menyifatkan ia terlalu ringan, malah pengamal undang-undang sendiri membantahnya kerana implikasi hukuman itu, memberi gambaran salah terhadap perundangan negara.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata beliau sudah mengarahkan rayuan difailkan terhadap keputusan mahkamah terbabit.
Ketika awal pendakwaan, tertuduh berdepan tuduhan cuba membunuh pembantu rumahnya mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun jika cedera, dan seumur hidup jika menyebabkan kematian.
Rozita didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Suyanti dengan menggunakan pisau, batang mop lantai, payung, batang besi, alat mainan kucing serta penyangkut baju, yang digunakan sebagai senjata untuk menyerang mangsa.
Bagaimanapun, selepas 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 9 Mei tahun lalu, tertuduh kemudian menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan pindaan melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, ketika prosiding disambung pada Khamis lalu.
Berdasarkan Seksyen 326, jika sabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda.
Susulan pengakuan bersalah tertuduh terhadap tuduhan pindaan itu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Mohammed Mokhzani Mokhtar, membenarkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan selama lima tahun dengan jaminan RM20,000.
Artikel Berkaitan Sebelum ini..
Datin didakwa cuba bunuh amah
Petaling Jaya: Suri rumah bergelar Datin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan cuba membunuh pembantu rumah warga Indonesia menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, batang mop dan payung hingga mangsa parah di rumah di Mutiara Damansara, minggu lalu.
Tertuduh, Rozita Mohamad Ali, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Suyanti Sutrinso, 19, hingga menyebabkan kecederaan, termasuk pada kedua-dua mata, tangan dan kaki, organ dalaman, pendarahan beku di bawah kulit kepala, patah tulang serta patah belikat kiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Disember lalu.
Dakwaan kes terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara 20 tahun dan jika cedera, dihukum dengan hukuman mati, jika disabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mendekati saksi sepanjang perbicaraan kes ini.
Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah sepanjang kes selesai.
Mahkamah menetapkan 7 Februari ini sebagai sebutan semula kes.
Dalam kejadian 12 tengah hari Rabu minggu lalu, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan cedera parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan di situ sebelum dimaklumkan kepada seorang penduduk dan mangsa dibawa ke klinik berhampiran.


Sumber : Harian Metro

0 komentar

Post a Comment