Thursday, 22 March 2018

“Hati Sayu Lihat Mayat Mereka” : Dua beradik lemas di tali air


IBU saudara kepada dua beradik yang ditemui lemas tidak menyangka gurauan mereka mahu meninggalkan rumah pada Selasa lalu menjadi ‘kenyataan’, hari ini.
Ini berikutan mayat Muhammad Harries Daniel, 11, dan abangnya, Muhammad Azreill Haikal Fauzi, 13, ditemui dalam tali air di Kampung Gong Baru, Kuala Terengganu pada 7 pagi tadi.
Difahamkan, dua beradik yang juga anak kedua dan ketiga daripada lima beradik itu dikatakan keluar sejak petang semalam untuk memancing.
Ahli keluarga dan penduduk kampung mula mencari mereka sejak 10 malam semalam selepas datuk mereka memaklumkan dua beradik itu tidak pulang ke rumah.
Nor Juraidah Mahmud, 35, berkata dia masih terngiang-ngiang gurauan dua beradik itu yang sememangnya rapat sejak kecil apabila mereka memaklumkan mahu meninggalkan rumah dan keluarganya.
“Hari ini, mereka benar-benar pergi sedangkan mereka tidak menunjukkan perubahan pelik menyebabkan saya tidak mampu menahan sebak,” katanya.
Katanya, ketika dia keluar rumah pada 2.30 petang semalam, dua beradik itu berada di rumah dan memang tidak dijangka akan bermain di tali air kerana mereka tidak pernah pergi ke kawasan berkenaan.
“Biasanya, kalau mereka keluar pun, hanya pergi bermain bola atau mencari buluh di dalam semak untuk membuat wau dan akan pulang ke rumah pada waktu Maghrib.
“Namun, saya mula tidak sedap hati apabila mereka tidak balik sebelum memaklumkan kejadian kepada bapa yang kemudian mendapatkan bantuan penduduk untuk mencari dua beradik itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Nor Juraidah berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana mereka boleh bermain di kawasan itu dan memang terkejut apabila dimaklumkan mengenai insiden itu pada 9 pagi tadi.
“Malam tadi, kami ada juga melalui kawasan ini untuk mencari mereka, tetapi tidak nampak apa-apa dan bercadang mahu membuat laporan polis mengenai kehilangan mereka pagi tadi.
“Hanya Allah yang tahu betapa luluh hati ini apabila melihat keadaan mayat mereka yang tersangkut antara satu sama lain. Mereka memang rapat sejak kecil dan tidak sangka menemui ajal bersama.
“Kami reda dengan kejadian ini kerana Allah lebih sayangkan mereka,” katanya.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Tok Nasek, di sini, dalam satu liang selepas solat Asar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, mayat dua beradik itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 10:27 PM
Sumber : Harian Metro

0 komentar

Post a Comment