Thursday, 22 March 2018

Akhirnya suspek kes pukul dan buli kerana awek telah di tahan Polis!




POLIS menahan tiga remaja lelaki yang disyaki terbabit dalam insiden pelajar tingkatan dua dibelasah di sekolah menengah di daerah Klang, Jumaat lalu.
Mereka yang juga pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan di Pelabuhan Klang dan Telok Gong, antara 7.30 malam hingga 8 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, seorang daripada tiga remaja itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.


“Siasatan awal mendapati dua pelajar yang ditahan itu mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan kita turut merampas telefon bimbit daripada seorang pelajar.
“Hasil semakan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya kepada pemberita di Klang, hari ini.
Menurutnya, pihaknya sudah memperoleh permohonan reman selama empat hari ke atas kedua-dua suspek sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.
Kata Shamsul Amar, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
NSTP hari ini melaporkan akibat dituduh mengganggu pelajar perempuan, seorang pelajar tingkatan dua dibelasah dua pelajar lain di sekolah berkenaan.
Berdasarkan satu rakaman video berdurasi 42 saat, mangsa berusia 14 tahun itu dipukul dan ditendang dua remaja lelaki berkenaan sambil disaksikan beberapa individu lain.
Siasatan awal mendapati mangsa yang mahu pulang ke rumah dipanggil seorang pelajar lain, jam 12.30 tengah hari.
Mangsa diminta mengikut pelajar itu ke kawasan belakang sekolah berkenaan.
Pengadu kemudian dipukul individu itu bersama seorang lagi pelajar lain dengan menggunakan tangan dan kaki. Kejadian itu dileraikan oleh seorang pelajar yang berada di tempat kejadian.

sumber - Harian Metro

0 komentar

Post a Comment