Sunday, 11 February 2018

[VIRAL] Sedih, Kisah Wanita Jaga Suami Terlantar Tarik Minat Pengarah Drama!

KUALA LUMPUR – “Apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Rupanya Allah hendak beri lebih lagi sedangkan saya tidak pernah terfikir pun catatan yang dimuat naik setiap hari dalam Facebook ada orang minat hendak buat buku,” demikian kata Siti Rohayu Ibrahim, 28, yang bakal mengeluarkan buku sendiri pertengahan Mac ini.
Kisah pengorbanan Siti Rohayu berjuang menjaga dan merangsang daya ingatan suaminya Muhamad Ridhwan Mohd Zaki, 27, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya sejak Mei lalu bakal diterbitkan dalam sebuah buku berjudul Menggapai Syurga Terindah.
Menurut Siti Rohayu, projek berkenaan adalah usaha sama dengan pengarang novel sejarah Islam Shafie Abdul Rahman serta penyunting dan pengarah drama tempatan Jamil Mutalib yang berminat menerbitkan kisahnya dalam sebuah buku motivasi.
“Sepanjang suami saya sakit, saya menerima banyak mesej daripada netizen bahawa mereka juga susah contohnya suami sakit dan ada kalanya hendak beli susu anak pun tak mampu.
“Jadi, rupanya masih ramai lagi di luar sana mengalami nasib macam saya, cuma kisah mereka tidak didendangkan (tular) saja.
“Tujuan utama projek buku ini bukan saja untuk membantu menjana pendapatan bagi meringankan beban saya semata-mata, tetapi apa yang lebih penting, sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan ke Tabung Ibu dan Isteri Prihatin (TIIP) yang saya tubuhkan sendiri untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata, perkenalan dengan Siti Rohayu berlaku secara tidak sengaja apabila video wanita berkenaan kerap tular di laman sosial sebelum pertemuan diatur tiga minggu lalu untuk menyampaikan sedikit bantuan kepada wanita itu di Sungai Buloh, Selangor.
“Saya lihat luahan dia setiap hari itu macam satu catatan terapi kasih sayang seorang isteri kepada suami yang kami rasakan boleh menjadi inspirasi dan semangat kepada masyarakat terutama isteri yang mengalami nasib sama.
“Jadi, ketika pertemuan itu kata sepakat dicapai untuk menerbitkan kisahnya dalam sebuah karya motivasi yang mana 20 peratus daripada hasil jualan buku itu akan disalurkan ke TIIP manakala 20 peratus lagi untuk tabung Wakaf Dunia Islam dalam membantu saudara Islam seperti Palestin, Syria dan Rohingya.
“Buat permulaan, kita sasarkan 50,000 jualan dan sekiranya projek ini berjaya dan menerima sambutan baik, kita akan kembangkan lagi kepada pembikinan drama,” katanya tempahan boleh dibuat menerusi e-mel kepada shafie1960@gmail.com atau hubungi talian 016-6862692.
Katanya, mereka mempunyai senarai 10 keluarga kurang bernasib baik untuk menerima sumbangan melalui TIIP yang diumumkan sempena pelancaran buku berkenaan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), 1 Mei depan.
Tempahan pembelian dalam talian buku Menggapai Syurga Terindah sudah dibuka dan bakal tamat pada 28 Februari ini.
Mereka yang membuat tempahan awal sehingga esok, berpeluang memperoleh diskaun RM22 sebuah buku dan percuma kos penghantaran.
sumber: awanggoneng

0 komentar

Post a Comment