Wednesday, 14 February 2018

[Sedih] Ya Allah, Sayunya!! Tidak Mampu Mengucapkan Selamat Tinggal Kepada Angah!

TUMPAT: Sejak lebih 10 tahun lalu, dua beradik penghidap Celebral Palsy (CP) dan hanya terlantar saling menemani antara satu sama lain.
Begitulah Muhamad Shaqir Mohd Asri, 13, dan abangnya, Muhamad Qamarul Haikal, 14, yang menghidap penyakit itu sejak lahir dan terlantar di rumah mereka di Kampung Berangan Hujung.
Bagaimanapun, jam 3 pagi tadi, Muhamad Qamarul, menerima takdir sedih yang adiknya menghembuskan nafas terakhir di sisinya.
Muhamad Qamarul hanya mampu merengek untuk menunjukkan rasa sedihnya apabila dimaklumkan Muhamad Shaqir yang dipanggil angah sudah tidak ada bersamanya.
Selama ini mereka setiap masa bersama menyebabkan ketiadaan arwah adiknya sangat memberi kesan kepada Muhamad Qamarul Haikal yang merengek hampir sejam selepas diberitahu berita sedih itu pagi tadi.
Ketika jenazah dikapankan, Muhamad Qamarul didukung ibunya untuk mengucup jasad adiknya untuk kali terakhir namun dia dilihat cuba melarikan muka seolah-olah tidak sanggup mengucapkan selamat tinggal.
Jenazah disembahyangkan di masjid berhampiran sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan Hujung di sini selepas solat Zuhur.
Ibu dua beradik itu, Noorazuralizma Ibrahim, 36, berkata, sebelum ini anak keduanya itu tidak mengalami apa-apa penyakit termasuk demam namun sejak semalam arwah kerap muntah bermula pagi hingga malam.
“Dalam tempoh seminggu ini, arwah pernah muntah selepas diberikan susu dan keadaannya bertambah teruk semalam kerana seharian muntah yang mengeluarkan cecair hijau kehitam-hitaman.
“Keadaannya juga sangat lemah menyebabkan saya mengangkat kedua-duanya dari bilik tidur ke ruang tamu untuk memudahkan pemantauan. Beberapa ahli keluarga yang lain ada yang membacakan surah Yasin.
“Saya ada memberinya minum air zam zam namun keadaannya tetap sama dan muntah mengakibatkan keadaannya menjadi semakin lemah,” katanya.
Menurutnya, kira-kira jam 3 pagi dia terlelap seketika sebelum dikejutkan suami yang memberitahu anak kedua dari lima beradik itu sudah tiada.
“Berita itu turut dimaklumkan kepada Muhamad Qamarul yang sudah merengek sambil menguis-nguis tubuh adiknya yang sudah tidak bernyawa,” katanya.
Noorazuralizma berkata, mungkin perasaan janggal dirasai Muhamad Qamarul kerana setiap hari mereka sentiasa bersama menyebabkan anak sulungnya terlalu sedih dengan pemergian adiknya.
“Pemergiannya amat kami rasai namun reda dengan ketentuan ilahi,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kegigihan suami isteri yang menjaga dua daripada lima anaknya yang menghidap penyakit CP.
Mereka menerima kehadiran dua cahaya mata itu sebagai ujian Allah SWT untuknya sekeluarga.
Berbeza dengan tiga anak lain, Muhammad Qamarul dan Muhamad Shaqir perlu diuruskan setiap keperluan seperti bayi dan tidak boleh berjalan sejak disahkan menghidap CP ketika usia enam bulan.

0 komentar

Post a Comment