Friday, 2 February 2018

[Sedih] Kanak-Kanak 9 Tahun Temui Ajal Akibat Didera Bapa Kandung Dan Ibu Tiri

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan menemui ajal akibat penderaan fizikal oleh bapa kandung dan ibu tiri di rumah mereka yang terletak di Taman Vista Jaya, Lukut.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, kanak-kanak berkenaan yang dikenali sebagai Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9 tahun ditemui tidak sedarkan diri oleh bapanya kira-kira jam 11.30 malam pada 1 Februari.
“Lelaki berusia 38 tahun cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada anak keduanya itu namun tidak berjaya. Dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan”.
Mangsa bagaimanapun dilaporkan telah meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam. Selain itu, menerusi hasil pemeriksaan, doktor menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa.
Mayat Nur Aina segera dipindahkan ke Unit Forensik bagi menjalankan siasatan. Keputusan bedah siasat mendapati mangsa menemui ajal akibat kecederaan parah pada bahagian organ dalaman.
“Bedah siasat mendapati buah pinggang mangsa rosak, usus koyak, tulang rusuk kanan dan kiri patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul”.
Susulan kejadian, suspek yang merupakan bapa kandung mangsa ditahan serta-merta di bilik mayat HTJ manakala ibu tiri kanak-kanak berkenaan ditahan di kem tentera di Rasah, Seremban.
Tambah Zainudin lagi, pada Jun tahun lalu, suspek pernah ditahan atas kesalahan yang sama setelah bekas isterinya membuat laporan mengenai kesan lebam pada badan Nur Aina.
Bagaimanapun, kes terbabit telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek yang merupakan seorang anggota tentera berpangkat sarjan dibebaskan atas alasan untuk mendidik mangsa.
Jiran mangsa yang enggan dikenali memaklumkan bahawa anaknya yang juga merupakan rakan kepada mangsa pernah memberitahu bahawa mangsa seringkali mengadu mengenai penderaan yang dilakukan ke atasnya.
“Dia (Nur Aina) beritahu anak saya, selalu kena pukul malah pernah dibaling kerusi oleh bapanya itu sehingga kerusi itu patah dan dia cedera. Dia juga beritahu kalau keadaan berterusan, dia boleh mati.”
Sementara itu seorang lagi jirannya mendakwa pernah melihat mangsa mengalami kesan lebam pada wajahnya terutama di bahagian mata.
“Mangsa agak pendiam dan jarang keluar rumah tetapi semua orang di sini tahu dia adalah kanak-kanak yang baik. Apabila saya bertanya mengenai kecederaan sebelum ini, dia memberi alasan terjatuh daripada basikal”.
“Kami juga kerap mendengar suara bapanya marah-marah di dalam rumah itu dan disusuli bunyi seperti pukulan. Bapanya memang garang tetapi mempunyai hubungan baik dengan jiran dan pernah memberitahu tidak sentuh anak-anak ketika marah.”
Tambah jiran tersebut lagi, dia langsung tidak mendengar bunyi yang mencurigakan namun mengakui ada mendengar suara kuat dipercayai suara si bapa yang sedang marah pada tengah hari Ahad lalu (28 Januari).
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan difahamkan mayat Nur Aina akan dibawa ke Ipoh bagi tujuan pengebumian.
Sumber: Utusan OnlinemyMetro via Era Baru

0 komentar

Post a Comment