Sunday, 18 February 2018

[Sedih] Belum puas kami peluk dia, dia sudah pergi… ” luah bapa Alif Rizqi, 4 tahun, kanak-kanak yang maut selepas terjatuh dalam kolah dipenuhi air di luar rumah datuknya di Jelapang. Al-Fatihah..

IPOH – “Belum puas kami peluk dia, dia sudah pergi…,” luah bapa Alif Rizqi, 4, kanak-kanak yang maut selepas terjatuh dalam kolah dipenuhi air di luar rumah datuknya di Kawasan Perindustrian Ringan Maju, Jelapang, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa bersama adik lelakinya, Aqil Rayyan, 2, ditemui terjatuh dalam kolah sedalam hampir 0.6 meter yang terletak di luar rumah berkenaan.
Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika menerima bantuan pernafasan di Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, sementara Aqil Rayyan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.
Mohammad Redzuan Mokhtar Ali, 34, berkata, Allahyarham yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik sebelum ini dijaga ibu mentuanya di Taiping sementara yang lain tinggal bersama ibu bapanya di Jelapang.
Dia yang berkhidmat sebagai anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) baru sahaja mengambil anaknya itu untuk tinggal bersama sekitar Januari lalu memandangkan, isterinya, Khatijah Latif Mohamad, 36, perlu berulang-alik dari Kuala Lumpur ke kampung kerana tuntutan kerja sebagai guru di Victoria Institution (VI).
“Arwah ni anak yang manja dan kalau tidur mesti mahu dipeluk, entah kenapa malam sebelum kejadian dia cuma mahu dipeluk ibunya sahaja, dengan saya dia tidak mahu. Dia peluk kuat-kuat ibunya menyebabkan kami pun hairan kenapa dia bersikap begitu.
“Isteri saya paling sedih, belum puas lagi dia lepaskan rindu, dia baru sehari dapat peluk anaknya, baru sampai dari Kuala Lumpur Khamis lepas dan tiba-tiba anak dah tak ada.
“Hampir tiga tahun kami berjauhan dan pelbagai usaha dibuat untuk mohon pertukaran tempat kerjanya, tapi tak berjaya juga,” katanya ketika ditemui di kediamannya, malam tadi.
Allahyarham Alif Rizqi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar, semalam.
Mohammad Redzuan berkata, Allahyarham yang mempunyai masalah pertuturan sebelum ini tidak pernah bermain hingga ke kawasan kolah terbabit.
Katanya, kolah itu meskipun dipenuhi air, namun berada dalam keadaan bertutup.

Aqil Rayyan kini masih dirawat di ICU HRPB, Ipoh.
“Saya pun tak tahu macam mana dia dan adiknya boleh main sampai ke situ, mereka memang bangun awal dalam jam 6.30 pagi dan selalu bermain berdua, apa pun kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya yang mempunyai dua lagi anak perempuan masing-masing berusia lapan dan enam tahun.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian itu disedari nenek mangsa ketika mencari kelibat dua beradik berkenaan di sekitar rumah terbabit.
Menurutnya, ketika kejadian, ibu bapa mangsa serta ahli keluarga lain sedang sibuk menyiapkan sarapan dan makanan tengah hari.
“Bunyi riuh rendah suara kanak-kanak yang secara tiba-tiba jadi senyap menyebabkan nenek mangsa mencari sebelum menemui mereka dalam kolah dipenuhi air yang terletak di luar rumah.
“Ketika menerima bantuan pernafasan di hospital, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia sementara seorang lagi dirawat di ICU,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber : Sinar Harian

0 komentar

Post a Comment