Tuesday, 30 January 2018

[Sayu] Kereta Terbabas di Chukai, Ibu Dan Anak Maut, Allahuakbar!

CHUKAI: Dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122, Jalan Jerangau – Jabur, Kampung Padang Kubu di sini, tengah hari tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12 tengah hari itu, Norhayati Ali, 55, dan anak perempuannya, Nur Dini Syaqirah Abu Seman, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi anak Norhayati, Mohd Shahrul Aiman, 23, yang memandu kereta PROTON Iswara serta seorang cucunya berusia empat tahun cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Shahrul terbabas ke laluan kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.
Pemandu Toyota Hilux bersama tiga penumpang turut cedera dan menerima rawatan di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Jenazah dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, manakala semua yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

0 komentar

Post a Comment