Sunday, 14 January 2018

Inilah 5 pembunuhan bersiri paling kejam dan sadis didunia ! No. 4 tu memang kejam !



Kalau di Malaysia, adakah anda masih ingat lagi kes tergempar pembunuhan ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada tahun 1993 yang telah ditetak anggota badannya sehingga menjadi 18 kerat? Nama Mona Fendi tidak henti-henti menjadi buah mulut masyarakat ketika itu. Dia, suaminya dan pembantu mereka telah disabitkan kesalahan atas pembunuhan kejam yang dilakukan dan Mona telahpun menjalani hukuman gantung sampai mati pada tahun 2001.

Sehingga kini kita masih tertanya-tanya, apakah motif sebenar pembunuhan. Adakah pembunuh seperti Mona ini memang dilahirkan tidak mempunyai sifat perikemanusiaan ataupun mereka mengalami masalah gangguan mental yang kronik? Apa yang ada dalam kepala otak mereka? Kadang-kadang tu nampak muka macam baik-baik aje tapi rupa-rupanya pembunuh.

kerat 18 mona fendi

Kita sering berasa jijik apabila mengetahui perlakuan pembunuh sadis seperti Mona tetapi pada masa yang sama, kita masih tertarik untuk mengetahui apa niat sebenar mereka mahu menjadi "Tuhan" untuk mencabut nyawa orang lain.

Mona menjadi popular selepas membunuh hanya seorang ahli politik yang berpengaruh. Namun, 5 pembunuh bersiri ini telah membunuh puluhan dan ratusan orang, menjadikan mereka pembunuh bersiri paling jahat sepanjang abad ke-20:

1. Charles Ng dan Leonard Lake

charles ng dan leonard lake

Charles Ng dan rakan subahatnya, Leonard Lake telah merogol, menyeksa dan membunuh antara 11 hingga 25 orang mangsa di sebuah ladang kepunyaan Leonard di California, Amerika Syarikat. Jenayah mereka diketahui umum pada tahun 1985 apabila Leonard membunuh diri selepas ditangkap dan Ng ditangkap ketika mencuri di kedai perkakasan. Polis kemudiannya telah memeriksa ladang Leonard dan menemui tinggalan anggota badan manusia.

Ng membuat percubaan melarikan diri ke Kanada namun dia telah diserah balik kepada Amerika Syarikat dan menjalani perbicaraan pada tahun 1998. Ng dijatuhkan hukuman penjara sampai mati atas 12 kes pembunuhan di Penjara San Quentin.

2. Gary Ridgway

gary ridgway

Pada tahun 2001, Gary Ridgway telah ditangkap untuk 4 kes pembunuhan namun dia mengaku bahawa dia telah membunuh sekurang-kurangnya 70 orang wanita di seluruh Washington sekitar tahun 80-an dan 90-an. Dia telah diselamatkan daripada hukuman mati dengan memberikan maklumat jelas berkaitan setiap pembunuhan dan membawa pihak polis ke tapak pelupusan mayat setiap mangsa. 5 orang mangsa telah dicampakkan ke dalam Sungai Green yang telah menyebabkan Gary menerima julukan "The Green River Killer."

Gary telah disabitkan kesalahan ke atas 49 pembunuhan dan menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

3. Daniel Camargo Barbosa

daniel camargo barbosa

Daniel Camargo Barbosa ialah seorang pembunuh bersiri yang telah melakukan serangan seksual dan membunuh lebih 150 orang gadis remaja di Colombia dan Ecuador pada tahun 70-an dan 80-an. Setelah melarikan diri dari penjara di Colombia, Daniel mengaku telah membunuh lagi 72 orang remaja perempuan sepanjang tempoh melarikan diri.

Daniel ditahan semula di Quito dan membawa pihak polis ke tempat pembuangan mayat yang belum ditemui. Dia disabitkan kesalahan pada tahun 1989 dan dipenjarakan selama 16 tahun, iaitu tempoh maksimum penjara di Ecuador. Namun, pada tahun 1994, Daniel telah dibunuh oleh seorang banduan yang merupakan sepupu kepada salah seorang mangsa pembunuhan Daniel.

4. Pedro Alonso López

pedro alonso lopez

Pedro Alonso López merupakan seorang pembunuh bersiri kejam dari Colombia yang telah membunuh lebih 300 orang gadis di seluruh Amerika Selatan. Dia menggoda dengan menarik mereka ke kawasan sunyi atau ke dalam bangunan terbengkalai sebelum membuat serangan seksual sebelum mencekik mereka sehingga mati. Pedro ditahan selepas salah satu cubaan menculiknya gagal dan dia terperangkap dengan peniaga pasar.

5. Harold Fredrick Shipman

Dr. Harold Fredrick Shipman merupakan seorang doktor berbangsa Inggeris dan merupakan seorang pembunuh bersiri dengan bilangan kes antara yang paling tinggi dalam sejarah dunia. Dia telah bertanggungjawab membunuh sehingga 250 orang mangsa.

Sebagai seorang doktor yang dipercayai, Dr. Harold menjadi tokoh yang disegani dalam masyarakat. Namun rakan sekerjanya serta pengurus mayat mula mempersoalkan angka kematian yang tinggi di kawasan itu dan bilangan pembakaran mayat wanita warga emas yang ditandatangan balas oleh Dr. Harold.

dr harold shipman

Beberapa mayat kemudian telah digali semula dan melalui proses post mortem. Ujian post mortem mendapati kesemua mayat mempunyai kandungan diamorphine dalam sistem badan. Rupa-rupanya Dr. Harold telah menyuntik dos merbahaya yang boleh membawa maut dengan sengaja ke dalam badan pesakit sehingga menyebabkan kematian. Dia kemudian telah membuat dokumen palsu wasiat untuk mendapatkan harta mereka dan mengesahkan pembakaran mayat untuk menghapuskan bukti.

Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebanyak 15 kali berturut-turut dan mengesyorkan agar Dr. Harold tidak dibebaskan. Walau bagaimanapun, Dr. Harold telah membunuh diri dengan tali gantung pada tahun 2004 dalam sel penjaranya di Penjara Wakefield.

Sumber : iluminasi





0 komentar

Post a Comment